269: MENGUNCI MULUT BUAYA DAN ULAR

SBDJ SIRI 269 MENGUNCI MULUT BUAYA DAN ULAR
     
Datuk menghadapi situasi genting dengan tenang. Ular tedung panggungkan kepala, bersedia untuk melakukan serangan maut. Wajah penduduk yang berada di situ dibalut ketakutan. 
            Sungguh mengejutkan, ular tedung yang garang itu merendahkan badannya dan terus menyusur di celah-celah dedaun kering dan akar. Akhirnya hilang entah ke mana. Peah yang ketakutan dapat ditenangkan oleh ayah Shafie.
            Peah segera memberitahu ayah Shafie bagaimana mulanya dia dikejar oleh ular tedung.
            “Sudah berkali-kali suami saya mengingatkan, jangan lalu di bawah pokok besar berlubang jika mahu ke sawah. Kata suami saya, di situ ada ular tedung bertelur. Saya tak endahkan cakap suami, sambil lalu saya baling puntung kayu ke arah pangkal pokok besar,” Peah berhenti bercerita.
            “Saya tak terima apa-apa akibat buruk. Tetapi petang ini, petang ketujuh ular itu keluar dari lubang dan buru saya,” sambung Peah, semua yang mendengarnya gelengkan kepala dengan mulut terlopong.
            “Kamu baliklah ke rumah. Lain kali jangan melawan cakap suami. Ular tedung bertelur jangan diganggu,” nasihat ayah Shafie pada Peah, wanita keras kepala.
            “Terima kasih membantu saya,” tutur Peah pada datuk.
            “Sama-sama.”
            Peah pun beredar dari situ dan orang kampung yang berkumpul segera bersurai. Pulang ke rumah masing-masing, menyambung kembali kerja yang terganggu.
            Kami kembali duduk di ruang tamu rumah orang Shafie. Topik perbincangan tergelincir dari merawat sakit Shafie kepada ular tedung.
            “Awak pukau ular tedung tadi?” soal ibu Shafie.                                                    
            Datuk tersenyum sambil gelengkan kepala.
            “Jadi apa yang awak buat dengannya. Barangkali awak pengamal ilmu hitam.”lancang sekali mulut ibu Shafie.
            “Itu bukan amalan kita,” sanggah datuk.
            “Awak puja ular?” Ibu Shafie masih belum puas hati.
            “Kita bercakap dengannya!” jawapan datuk membuat ibu dan ayah Shafie panggungkan kepala. Mereka menatap muka datuk penuh kehairanan. Bagi menghilangkan keraguan yang tumbuh dalam hati pasangan isteri itu. Datuk segera menjelaskan kedudukan yang sebenar.
            “Ular dan buaya. Jenis haiwan melata yang mudah kita jumpai, terutama di kawasan berair seperti kawasan berpaya, sungai hutan bakau dan kuala sungai,” datuk mula merintis jalan penjelasan. Semua yang ada di situ pasang telinga terutama kedua-dua ibu bapa Shafie.
            “Ada masanya tak payah pergi jauh. Kita boleh jumpa ular di sawah di kebun pisang, malah dalam kawasan rumah kita. Dalam jenis tertentu binatang yang melata ini cukup bahaya. Ular bahkan buaya, sebenarnya makhluk Allah yang sangat dekat nalurinya dengan manusia,” sambung datuk.
DAHI
Ayah Shafie kerutkan dahi sambil merenung keluar menerusi jendelah yang terdedah. Tajudin menggigit bibir, masih ragu-ragu untuk mempercayai kisah yang dituturkan oleh Datuk.
            “Binatang dapat memahami apa yang ada dalam hati  manusia. Sama ada berniat jahat atau sebaliknya. Mereka dapat merasakan getaran halus yang tidak disedari dipacarkan oleh manusia melalui kuasa tenaga semula jadi.
            “Kerana itulah, bukan sesuatu yang pelik, bila terdapat ramai pawang ular dan buaya berbanding pawang binatang buas lain seperti harimau atau singa. Ular dan buaya banyak kaitannya dengan lagenda kehidupan manusia,” Datuk berhenti seketika, panjangkan leher merenung keluar macam ada sesuatu yang mahu dilihatnya.   
            Beberapa orang kampung dapat dilihat dengan jelas melalui jalan tanah merah yang berdebu. Mereka pulang dari ladang. Angin nan bertiup menerbangkan debu-debu merah singgah di daun pokok yang tumbuh memagari kiri kanan jalan.
            “Bila kita jumpa ular, apa yang mesti kita buat?” Kita lari atau kita pukul sampai mati,” Shafie bertanya.
            “Bila kita jumpa ular, memang kita tidak diperkenankan terus membunuhnya. Kita halau terlebih terlebih dahulu, kalau dia pergi, jangan diganggu lagi. Boleh jadi pertemua (manusia dan ular) tanpa disengajakan. Bila dia melawan dan mahu menyerang baru kita boleh bunuh,” jawab Datuk tenang.
              “Itupun dengan cara yang  tidak menyiksakan,” sambung Datuk penuh ghairah,” ada juga ular yang mematuk manusia dilarang membunuhnya. Sebelum orang yang kena patuk itu sembuh. Jika ular itu dibunuh, mungkin orang yang kena patuk itu mati.
            “Ohhh....”
            Saya segera menoleh ke arah Tajudin yang bersuara cemas. Pak Habib senyum. Ayah Shafie masih merenung keluar.
            “Macam mana dengan ular yang mengejar Peah tadi? Boleh kita bunuh, kalau dia mematuk perempuan yang membantah cakap suaminya?”. Ibu Shafie buat sekian kalinya mengajukan pertanyaan.
            “Ular tadi ular biasa, dia marah kerana kawasan tempat dia bertelur dihampiri manusia. Saya katakan tadi, ular jangan diganggu”.
            “Apa yang awak cakap dengan ular tadi?”. Datang lagi soalan dari ibu Shafie.
            Datuk terdiam seketika, belum sempat anak wanita itu ditentangnya. Ibu Shafie segera alihkan pandangan ke arah lain. Tidak berani menentang anak mata datuk yang dirasakannya seperti ada getaran yang membuat perasaannya jadi cemas.
            “Buaya, ular, harimau, dan binatang liar lainnya memang tidak suka bertemu dengan manusia. Itulah sebabnya, bila mereka terserempak dengan manusia, mereka terus menyerang. Ada semacam sumpah atau pantang larang dalam dunia mereka. Kalau ada cerita manusia dimakan buaya. Itu sebenarnya bukan salah buaya. Tetapi, salah manusia yang mengejutkannya,” kata-kata yang datuk luahkan seolah-olah ditujukan kepada ibu Shafie.  
            Saya menarik nafas dalam-dalam sambil mengeliat. Rasa lenguh di setiap sendi terasa hilang. Kalau boleh, memang saya mahu datuk segera menamatkan kisah yang dibincang dan kembali kepada topik asal sama ada mahu bermalam di rumah orang tua Shafie atau sebaliknya.
TARIK
“Bila satu masa kita bertemu dengan ular buaya, jangan takut dan panik. Bila kita panik atau takut, boleh membahayakan jiwa kita. Kalau boleh mengelak, eloklah mengelak. Kalau sudah tak boleh, tak ada salahnya kita membekali diri dengan ilmu kunci mulut buaya atau ular,” datuk terbatuk kecil. Setelah mengurut dadanya dua tiga kali. Datuk minta segelas air dingin.
            Ibu Shafie segera bangun dan beredar ke ruang dapur. Datang semula dengan segelas air dingin. Dihulurkan kepada datuk.
            “Terima kasih”, kata datuk lalu minum air dingin senafas. Ibu Shafie ke ruang dapur kembali membawa gelas kosong.
            “Macam mana caranya, nak kunci mulut ular dan buaya? Apa petua dan amalan yang mesti dibuat?”.
            Saya terkejut kerana pertanyaan itu datang dari Tajudin. Ayah dan Ibu Shafie anggukkan kepala setuju dengan pertanyaan yang diajukan oleh Tajudin.
            “Petua dan ilmu tu, ada syarat dan pantang larangnya,” datuk renung muka Tajudin dan pasangan suami isteri.
            “Apa syaratnya”, Tajudin kian ghairah
            “Jangan takut dan tetap yakin, nyawa setiap makhluk di tangan Allah”, datuk berhenti seketika.
BERSANDAR
Perlahan-lahan datuk rapatkan belakangnya ke dinding. Bersandar di situ dengan wajah ceria sekali. Kemudian menggerakkan lehernya ke kanan dan ke kiri hingga berbunyi kruuukkkk.
            Bila merasakan duduknya sudah aman dan selesa, datuk terus menuturkan: “Bila bertemu ular atau buaya ucapkan salam”.
            “Salam? Mulut Shafie terlopong.
            “Iya”, angguk datuk.
            “Bagaimana salamnya”, susul Tajudin.
            “Bila bertemu ular atau buaya ucapkan ini sebanyak tiga kali:  “Assamu’alaikum ‘alaa sayyidinal khadiri ‘alaihis salam. Assalamu ‘alaikum ‘alaa sayyidinaa aliyyin radhiayallahaanu’ anhu
.           “Semasa memberi salam itu, renung ular dan buaya dengan penuh keyakinan terhadap pertolongan dari Allah”, dan apa yang dituturkan oleh datuk diikuti dengan penuh perhatian dan minat.
            Memang tidak menghairankan, bila datuk bercakap, mereka termanggu-manggu dengan mulut terlopong. Kalau boleh, mereka mahu datuk terus bercakap dan bercerita tanpa berhenti.
            “Cuma itu saja?” datang lagi pertanyaan dari Shafie.
            “Ada lagi”, jawab datuk.
            “Apa dia yang ada lagi itu”.
            Pak Habib tersenyum mendengar pertanyaan yang diajukan oleh ayah Shafie.
            “Selanjutny, bacalah doa ini sebanyak tiga kali iaitu: Yaa ‘ibaadallooh a’iinuunii, selanjutnya bacalah Laa ilaha illallah sambil membaca perlahan-lahan menjauhi ular atau buaya atau tunggu binatang itu menjauhkan diri dari kita.
            “Ada lagi”, desak Tajudin.
            “Tak ada”, datuk gelengkan kepala.
            Terdengar keluhan hampa dari pasangan suami isteri, Tajudin dan Shafie. Mereka bagaikan tidak percaya dengan apa yang datuk luahkan. Mereka yakin masih ada yang disembunyikan atau sengaja dirahsiakan oleh datuk dari pengetahuan mereka.
            “Percayalah pada saya, memang tidak ada lagi. Cuma itu saja yang saya tahu untuk mengunci mulut buaya dan ular”, ujar datuk seiringan dengan senyum.
            Setiap wajah yang ada di ruang tamu ditatapnya satu persatu, kecuali wajah Pak Habib. Apa yang dapat saya rumuskan dari ungkapan datuk sebentar tadi ialah: kesangsian dengan keraguan yang bersarang dalam kepala Shafie bersama orang tuanya dan Tajudin sudah dibersihkan.

Ulasan

  1. doa tundukkan jin, ular, buaya, binatang liar/buas dsb;

    "innahuu minsulaiman, wa innahuu bismillaa hirrohmaa nirrohiim. salaamun 'alaa nuuhin fil 'aalamiin.
    Allahumma solli 'alaa muhammad"

    BalasPadam
    Balasan
    1. Doa ni boleh jugak digunakan sebelum masuk hutan kan ?

      Padam
  2. doa kunci;

    "amhulhum,
    alamtarokai fafa 'alaa Robb!"


    kunci MESTI dibuka bila aman/tiada bahaya lagi;
    "amhilhum ruwai daa,
    alam tarokai fafa 'alaa robbukaa!"

    BalasPadam
  3. doa tundukkan jin, ular, buaya, binatang liar/buas dsb;

    "innahuu minsulaiman, wa innahuu bismillaa hirrohmaa nirrohiim. salaamun 'alaa nuuhin fil 'aalamiin.
    Allahumma solli 'alaa muhammad"

    BalasPadam
  4. Minta izin untuk mengamalkan ilmu ilmu yang dipaparkan.

    BalasPadam
  5. Saya minta izin amal kan doa ni

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

232: HARUAN BESARKAN KEMALUAN

284: SELAMAT JALAN KAWAN