SBDJ SIRI 278 MENCARI KETURUNAN PENDEKAR
“Memang saya berminat ke sana, beberapa nama yang disebut memang saya kenal,” datuk bersuara. Semua yang ada dalam bilik besar termenung sebentar.
“Jadi bagaimana sekarang.”
Pak Habib minta keputusan pasti dari datuk. Ternyata datuk tidak dapat memberikan jawapan muktamad. Jamaluddin cuba memecahkan masalah tersebut.
“Begini, saya ada berjanji dengannya,” Jamaluddin menudingkan ibu jarinya ke arah datuk.
“Saya nak bawa dia ke Tanah Abang, saya nak temukan dia dengan para waris jagoan Tanah Abang, terutama keturunan si Pitung,” sambung Jamaluddin. Pak Habib agak terkejut dengan penjelasan tersebut.
“Kalau begitu, sahabat ikut rancangan Jamaluddin dulu,” Pak Habib menyokong.
“Tapi.”
“Rancangan saya tu boleh ditangguh ke lain waktu. Lagipun Jamaluddin memang orang Betawi, tentu dia lebih tahu dari saya,” Pak Habib memberi alasan. Datuk tidak berdaya menolak dan akur dengan apa yang Pak Habib ucapkan.
“Badan kamu sihat,” usik Jamaluddin.
Datuk tersengih, tanpa bersuara.
“Menyusuri waris pahlawan bangsa dua serupa memang jadi kesukaan kawan saya ini.” Pak Habib terus menepuk bahu datuk berkali-kali. Saya dan Tajudin hanya melihat apa saja yang terjadi didepan mata.
Agak terkejut juga, bila Pak Habib memutuskan, Tajudin tidak perlu ikut kami. Bagi datuk dan Jamaluddin tanpa kehadiran Tajudin tidak memberi sebarang kesan. Tetapi, bagi saya tanpa kehadiran Tajudin memang merugikan, saya akan jadi kera sumbang diantara datuk dan Jamaluddin.
“Sebelum ke mana-mana, bawa orang Semenanjung ni ke Masjid Al-Makmur, biar dia sembahyang sunat disitu. Kemudian baru kamu temukan dengan keturunan pahlawan Tanah Abang,” Pak Habib memberi pesan sebelum datuk dan Jamaluddin memulakan langkah.
“Tak cakap pun niat saya memang begitu,” kata Jamaluddin dengan iringan ketawa kecil.
“Bila selesai semuanya, hantar ke rumah ini balik, banyak ilmu yang mahu saya tuntut darinya,” Pak Habib mengingatkan Jamaluddin. Datuk hanya menggeleng-gelengkan kepala.
“Kami pergi dulu sahabat,” datuk bersuara.
“Selamat jalan sahabat, semoga Allah memberkati perjalanan kamu.” Pak Habib menadahkan kedua belah tangannya.
MASJID
Jamaluddin membawa kami memasuki Jalan KH Mas Mansyur yang jaraknya lebih kurang 100 meter dari Pasar Tanah Abang, ternampak sebuah masjid lama.
“Inilah Masjid Al-Makmur yang saya katakan itu,” beritahu Jamaluddin pada datuk. Dengan tenang datuk masuk dalam masjid melakukan solat Suant Masjid.
“Masjid ini boleh mengisi sekitar tiga ribu jemaah, salah satu masjid tertua di Jakarta,” Jamaluddin terus memberi penerangan.
Didepan masjid, Jamaluddin terus bercerita, pada mulanya masjid tersebut hanya sebuah surau yang sangat sederhana. Berukuran 12 x 8 meter. Pada tahun 1790 dijadikan masjid.
“Saudara tahu bagaimana kawasan ini dinamakan Tanah Abang,” biji mata Jamaluddin menatap batang hidung datuk yang menggelengkan kepala. Tanda tak tahu.
“Begini, nama ini berasal dari tentera Mataram menyerang Betawi.”
“Masa bila tu?” datuk ingin tahu.
“Menurut ceritanya pada tahun 1628, mereka bukan saja menyerang dari laut diutara tapi juga menyerang dari arah selatan. Pada masa itu kawasan tersebut (Tanah Abang) merupakan tanah berbukit dan dikelilingi kawasan berpaya yang airnya datang dari Sungai Krukut. Kawasan berpaya ini dimanfaatkan oleh askar Mataram sebagai pengkalan untuk menyerang Belanda.
“Kerana tanahnya berwarna merah (abang ertinya merah dalam bahasa Jawa) maka mereka menamakan tempat itu sebagai Tanah Abang, nama itu kekal sampai sekarang.” Jamaluddin menerangkan secara terperinci pada datuk. Mulut saya terlopong mendengar kisah itu.
“Ditempat saya ada juga tempat nama Tanah Abang.”
“Apakah kisahnya sama dengan apa yang saya ceritakan ini,” Jamaluddin tatap wajah datuk.
Dan secara spontan saya teringatkan sebuah tempat didaerah Perak Tengah yang namanya sama dengan Tanah Abang, Jakarta. Kononnya, nama Tanah Abang di Perak muncul akibat salah faham dua saudara berhubung dengan sebidang tanah. Mereka bertikam hingga si abang menemui ajal ditangan adiknya.
Bila menyebut tentang susur galur kesultanan diPerak nama tersebut baru disebut orang kerana salah seorang Sultan telah dimakamkan disitu, dikenali dengan sebutan Al-Marhum Tanah Abang. Rupanya, perkara yang bermain dalam kepala saya itulah yang disebut oleh datuk didepan Jamaluddin.
SERUPA
“Nama serupa, suasananya berbeza. Tanah Abang disini tempat orang buang wang dan kutip wang. Tanah Abang ditempat saudara ada makam sejarah. Pokoknya, kita sama-sama ada Tanah Abang,” kata Jamaluddin dalam nada berjenaka.
“Soalnya sama-sama ada Tanah Abang,” sahut datuk.
“Kita serumpun yang sama, tapi tak serupa,” Jamaluddin meningkah. Mereka berbalas senyum.
Kami terus melangkah meninggalkan kawasan masjid dalam cuaca panas. Tubuh mula mengeluarkan peluh-peluh halus. Bunyi deru kenderaan terus mengasak lubang telinga, sedangkan kenderaan terus bersimpang siur sesuka hati. Kumpulan manusia yang menyeberang jalan bergerak sesuka hati. Keadaan begini membuat saya jadi tidak selesa, terasa macam mahu pening.
Kerana asyik melihat karenah orang ramai dan melihat bangunan tua, saya terpisah agak jauh dengan datuk dan Jamaluddin. Bagi mengimbangi keadaan saya terpaksa melangkah panjang dan berlari anak. Perbuatan itu mendatangkan rasa penat, nafas jadi sesak tercungap-cungap. Badan bermandikan peluh.
“Ke mana kamu nak bawa aku, Jamal?”
“Meninjau kawasan Tanah Abang yang luasnya sekitar 2.6 hektar dengan bangunan bertingkat. Dulu, kawasan ini kaya dengan pendekar dan para jaguh yang sukar dikalahkan, merekalah galang ganti Tanah Abang, mereka dihormati kerana tinggi ilmu agamanya, handal digelanggang,” sempat juga Jamal memberi ceramah pendek.
“Barangkali disitu boleh jumpa dengan keturunan si Pitung.”
“Dengan izin Allah, saya cuba berusaha supaya saudara boleh berjumpa dengan pahlawan Betawi. Tanah Abang ni kawasan orang Betawi,” dicelah-celah arus manusia yang berpusu-pusu Jamaluddin terus memberikan penerangan. Beberapa orang yang dikenali Jamaluddin terus memberi salam. Berhenti sebentar, lalu bertanya khabar.
Dalam kesempatan itu, Jamaluddin memperkenalkan datuk pada kawan-kawannya dengan menyebut bahawa datuk seorang yang handal dalam ilmu mempertahankan diri. Akibat dari perkenalan itu, beberapa orang kawan Jamaluddin menatap tubuh datuk dari atas ke bawah, dari bawah ke atas beberapa kali. Perbuatan itu membuat datuk resah dan tidak tentu arah.
“Kawan kamu dari Tanah Melayu,” secara mendadak seorang lelaki yang usianya hampir sebaya dengan datuk muncul dari sebelah kanan saya. Jamaluddin jadi panik, kerana dia belum memperkenalkan datuk pada orang tersebut.
“Salam perkenalan.”
Orang yang sebaya datuk hulurkan tangan.
“Selamat berkenalan,” sahut datuk.
Mereka bergoncang tangan, bertentang anak mata dan berlaga senyum. Ada debaran kecil dalam hati, wajah datuk yang tadi dibalut keriangan berubah seakan-akan terkejut.
DUGA
Saya menduga ada kejadian yang tidak dapat dikesan dengan mata kasar. Lelaki sebaya datuk berkulit cerah dengan misai kontot, tidak mahu melepaskan jari jemari datuk yang digenggamnya. Dengan lembut datuk cuba melepaskan tetapi, genggaman semakin erat, jeri jemari terasa sakit.
Pada suatu saat saya lihat datuk bagaikan gagal menahan kesabaran. Lelaki berkulit putih seperti mahu memperlihatkan kekuatannya. Seperti mahu menguji datuk. Jamaluddin yang menyedari apa yang berlaku berlegar-legar disisi datuk dan lelaki berkulit putih. Tidak tahu apa yang patut dilakukannya.
“Masalah besar,” keluh Jamaluddin semasa melintas didepan saya. Dia benar-benar cemas. Anak matanya tidak terlepas dari merenung ke arah lelaki berkulit putih dan datuk.
“Bersabar,” kata saya.
Jamaluddin renung muka saya seketika. Beberapa orang yang lalu disisinya tidak dipedulikan.
“Alhamdulillah…” Jamaluddin bersuara.
Lelaki berkulit putih, bermisai kontot terus memeluk dan mendakap datuk. Jamaluddin menarik nafas lega.
“Orang ni memang hebat, sabar dan tahan diuji.”
Lelaaki berkulit putih menyapu peluh yang muncul didahi luasnya. Jamaluddin tersengih. Datuk hanya membatu.
“Dia bukan sebarang orang,” sambung lelaki berkulit putih. “Kali pertama aku renung mukanya, aku sudah menduga dadanya tidak kosong, kerana itu aku uji. Aku nak sukat sejauh mana ilmunya.”
“Kamu salah orang dan salah tempat menguji,” Jamalauddin memberikan komentar. Lelaki berkulit putih pamerkan giginya yang kelihatan agak kekuningan.
“Menguji itu memang kerja aku, lebih-lebih lagi kalau orang itu mahu masuk ke kawasan Tanah Abang, sekarang dia lulus ujian, bawa dia ke mana-mana,” lelaki berkulit putih hulurkan tangan minta maaf pada datuk. Dengan senang hati datuk menerimanya.
Lelaki berkulit putih meninggalkan kami. Dalam sekelip mata dia terus hilang dalam lautan manusia yang berpusu-pusu.
“Maafkan saya dengan peristiwa tadi, tak sangka boleh jadi macam itu,” Jamaluddin melahirkan rasa kesal. Dia seperti hilang semangat untuk membawa saya dan datuk menemui orang yang ada pertalian darah dengan si Pitung.
“Itu perkara biasa.”
“Tapi memalukan saya.”
“Agaknya dia memang ditugaskan untuk menguji orang yang dicurigai.”
Pertanyaan itu membuat Jamaluddin termenung sebentar.
“Itu pun saya tak pasti. Sebenarnya, saya memang tak pernah kenal dengan dia. Hari ini baru saya melihatnya, sebelum ini saya tak pernah dengan kejadian macam ini, patutnya awak ajar dia tadi.”
“Itu bukan cara saya.”
“Pelik saya memikirkannya.”
“Tak apalah, dia memang manusia misteri,” kata datuk lalu disambut oleh Jamaluddin dengan ketawa kecil.
Ulasan
Catat Ulasan