SBDJ SIRI 279 IKRAR TURUNAN PENDEKAR
Dibawah sinar matahari yang kian keras, kami terus melangkah mengikut rentak Jamaluddin. Berlegar-legar disitu, bercampur baur dengan pedagang dan pengunjung. Sesekali secara tidak sengaja saya terlanggar orang yang lalu. Sopan sungguh, orang dilanggar tidak marah. Sekadar senyum dan angkat tangan kemudian terus berlalu.
Suara kenderaan dan orang ramai bagaikan bersatu menambahkan rancak dan kemeriahan suasana ditempat tersebut.
“Ini belum berapa sibuk,” kata Jamaluddin.
“Bila paling sibuk?” saya bertanya.
“Tunggu sejam dua lagi.”
“Hummm…”
Saya pun tidak melanjutkan pertanyaan.
Melihat pada kesibukan ditempat tersebut menguatkan lagi hujah Jamaluddin yang mengatakan kawasan tersebut adalah pusat tekstil dan pakaian yang terbesar di Tanah Jawa. Sesuai dengan usianya yang sudah melebihi satu abad.
“Disini semuanya ada, kecuali emak dengan ayah,” dicelah-celah orang ramai itu, Jamaluddin masih sempat berjenaka. Datuk senyum panjang dan saya ketawa kecil.
“Kita masuk ke dalam bangunan,” ajak Jamaluddin.
Datuk renung muka saya sambil menggigit bibir. Barangkali berfikir apa untung dan ruginya masuk ke dalam perut bangunan itu.
“Bagaimana, setuju?” tekan Jamaluddin.
Datuk masih macam tadi, masih berfikir-fikir.
“Boleh juga, tapi sebentar saja,” satu syarat dari datuk.
“Sekadar tengok sekali lalu,” balas Jamaluddin.
Beberapa minit berikutnya kami sudahpun berada dalam bangunan yang padat dengan pembeli dan penjual yang menjaja serbaneka jenis kain dan pakaian. Tetapi, masalahnya kami tidak boleh bergerak dengan selesa. Laluan yang ada dikiri kanan kedai terlalu sempit dan bising pula. Keadaan begini membuat saya rasa sakit kepala, sakit hati dan sakit mata.
“Panas, tak dapat nak tengok apa, orang ramai macam ulat tahi,” secara tidak langsung rungutan saya dapat didengar oleh datuk dan rungutan itu pun dipanjangkan ke telinga Jamaluddin.
“Kalau begitu kita keluar saja. Sebenarnya saya pun jarang masuk tetapi kali ini saya sengaja mahu menunjukkan kepada awak berdua betapa sempit dan panasnya berada dalam bangunan tu,” kata Jamaluddin sambil senyum.
Setelah berlegar-legar lebih dari satu jam dikawasan yang sesak dan padat itu, Jamaluddin membawa saya dan datuk memasuki sebuah lorong dan pengembaraan kami berhenti dihujung lorong yang bercabang tiga. Kami bertiga berlabuh disebuah gerai.
KENAL
Jamaluddin segera memperkenalkan datuk dengan pemilik gerai tersebut. Orangnya sudah berusia lewat lapan puluhan tetapi, masih nampak bertenaga, macam awal lima puluhan.
“Memang saya yang punya gerai ini, tetapi yang berniaga cucu saya, sekadar jual makanan dan minuman,” kata pemilik gerai denagn wajah ceria.
“Ha, itu cucu saya.”
Pemilik gerai menuding telunjuk ke arah seorang anak muda, tinggi berkulit cerah. Anak muda yang pada mulanya mahu terus pergi ke belakang gerai membatalkan rancangan bila menyedari kehadiran kami. Dia datang ke arah kami lalu bersalam dengan kami seorang demi seorang. Kemudian meneruskan perjalanan ke belakang gerai.
“Dia yang berniaga digerai ini, saya suruh secara paksa. Kalau tidak diberikan tanggungjawab, dia boleh bercampur dengan budak-budak nakal,” pemilik gerai membuka rahsia.
“Satu tindakan yang bijak,” datuk memuji.
Setelah melabuhkan punggung dibangku panjang, perbualan semakin rancak. Abdul Jabbar dipanggil oleh penduduk sekitar samada tua atau muda dengan nama Pak Jabbar, warungnya sentiasa jadi tumpuan.
“Saya ke sini sekadar membantu cucu, banyak masa saya habiskan disini. Warung sempit ini jadi tempat kawan-kawan sebaya saya berjumpa saya, bercerita dan berborak kisah-kisah muda dulu,” cerita Pak Jabbar. Kami sambut dengan ketawa.
“Terima kasih Jamal kerana kamu bawa orang Semenanjung ke warung buruk aku. Ini satu penghormatan yang tinggi, terima kasih Jamal.”
“Bukan saya pak, orang ini,” ibu jari kanan Jamal menuding ke arah datuk. “Dia nak kenal denagn sisa-sisa pahlawan Betawi.”
“Oh, begitu, ini juga penghargaan untuk anak cucu si Pitung, Robinhood Betawi merampas harta benda Belanda yang kaya untuk dibahagi-bahagikan kepada rakyat miskin. Tanah Abang ni kebanyakkan penduduknya orang Betawi yang kuat berpegang pada agama,” Pak Jabbar membetulkan duduknya sambil menatap wajah saya dan datuk silih berganti.
Dan orang tua yang memiliki sepasang mata tajam itu memberitahu, dalam sejarahnya Tanah Abang memang kaya dengan para pendekar. Meskipun mereka kini sudah tiada, nama mereka tetap mengharum, dikenang dan dihormati oleh penduduk setempat. Tetapi, cerita Pak Jabbar sering terganggu kerana kedatangan beberapa kawan-kawan lamanya. Mereka datang sekadar memberi salam, bertanya khabar, kemudian meneruskan perjalanan.
PANAS
Dalam panas yang keras itu, lorong-lorong didepan gerai menerbangkan habuk-habuk halus bila dilalui motorsikal dan kenderaan ringan. Semuanya itu tidak mengganggu kami. Awan dilangit Tanah Abang nampak ramah bergerak ke mana-mana.
“Saya bukan cakap kosong, ada buktinya. Salah seorang darinya Sabeni, pendekar yang menjadi lagenda, namanya bukan saja terkenal diseluruh Betawi terutama sebelum perang dunia kedua,” sambung Pak Jabbar sambil menggaru pangkal leher. Jamaluddin termenung kosong merenung ke arah dada lorong yang dilalui dua kanak-kanak tanpa sepatu. Barangkali, fikiran Jamaluddin membayangkan ketangkasan pendekar yang namanya baru disebut oleh Pak Jabbar.
“Sampai sekarang aliran silat Sabeni masih dikembangkan oleh anak-anak muridnya disekitar Jakarta. Khabarnya sudah dibawa ke Singapura dan Muar, ditempat tersebut banyak terdapat keturunan Betawi menetap disitu,” nada suara Pak Jabbar lembut. Dia renunng kiri kanan dulu bila menyebut nama Sabeni.
“Apa istimewanya silat Sabeni?” tanya datuk.
Pak Jabbar membetulkan duduknya. Biar selesa duduk. Buat beberapa saat biji mata datuk ditentangnya. Seolah-olah menyelami perasaan datuk. Apakah bertanya kerana memang tidak tahu atau pura-pura tidak tahu pada hal itu.
Pak Jabbar tarik nafas dalam-dalam sambil melemparkan pandangan pada sekeping kertas yang melayang-layang dipermukaan lorong kerana ditiup angin.
“Aku yakin kamu tidak pura-pura,” terhambur kata dari Pak Jabbar. Jamaluddin tersentak tetapi, datuk tetap berada dalam keadaan tenang.
“Keistimewaan silatnya ialah pukulan mautnya yang sekarang disebut oleh bekas anak muridnya pukulan gisawnya. Pukulan itu masih diajar pada setiap gelanggang yang dibuka oleh anak murid Sabeni.”
“Barangkali itu yang disebut pukulan maut,” kata saya sebaik saja Pak Jabbar berhenti bercakap.
“Barangkali,” jawab Pak Jabbar pendek.
MUNCUL
Cucu Pak Jabbar muncul dari belakang gerai membawa setalam minuman dan kuih-muih. Panas terik yang memanah permukaan lorong mulai beransur redup. Angin juga tidak bertiup membuatkan debu-debu halus tidak berterbangan.
“Silakan minum,” tuturnya bersopan.
Kemudian anak muda itu terus menuju ke dapur. Sepanjang masa kami berada disitu, tidak ramai pelanggan yang singgah minum atau membeli kuih untuk dibawa pulang.
“Dia belajar silat dengan saya dan belajar agama dengan Ustaz Shahrul. Dalam masa remajanya harus dikenakan peraturan, kalau tak ada peraturan dia mencari kegiatan diluar yang lebih teruk. Cucu yang satu ini saya kawal,” sambil menyuruh kami minum sempat juga Pak Jabbar memberitahu undang-undang tidak bertulis yang dikenakan pada cucunya.
Pak Jabbar begitu berminat dan megah bila bercerita tentang pendekar Tanah Abang. Dia pun menyebut nama Rahmat dan Mahruf yang hampir satu angkatan dengan Sabeni.
“Sebenarnya, selain dari nama-nama yang disebut itu ada berbelas lagi jagoan Tanah Abang seperti Derahman, Habib Alwi dan Satiri, mereka juga mempunyai anak murid,” sambil memicit-micit pangkal pahanya, Pak Jabbar mengungkapkan kata-kata itu.
Bila Pak Jabbar menyebut nama Satiri, wajah Jamaluddin nampak ceria. Senyuman berlari disepasang bibirnya yang dilindungi misai tebalnya.
“Saya dari keturunan Satiri,” Jamaludddin terus berdiri.
“Kalau kamu tak sebut pun aku tahu,” tingkah Pak Jabbar dalam senyum.
“Haaa…” Jamaluddin terus duduk.
“Kamu wajib menjaga nama baik keturuann kamu. Kamu juga mesti tahu semua pendekar dihormati bukan kerana kebolahen mereka dalam ilmu mempertahankan diri. Ada benda lain lagi.”
“Habis kerana apa?”
“Kerana mereka bukan sekadar seorang pendekar tetapi, pembela kebenaran serta kuat beramal ibadah dan tak mahu menonjolkan diri dengan kelebihan yang Allah berikan. Mereka lakukan dengan penuh keikhlasan. Inilah yang tidak ada pada pengamal ilmu silat, malah guru silat banyak yang jahil tentang amal ibadah. Itu sebabnya banyak perguruan silat mengajar perkara yang sesat. Menentang raja menyanggah adat budaya bangsa sendiri,” penuh semangat Pak Jabbar mengungkapkan kata-kata itu. Jamaluddin tunduk merenung permukaan lantai warung.
“Saya berjanji menjaga nama baik keturunan saya,” tiba-tiba saja Jamaluddin bangun dan berikrar didepan Pak Jabbar.
“Bagus,” Pak Jabbar segera menepuk bahu Jamaluddin.
“Zaman kami dulu, sebelum belajar ilmu silat mempertahankan diri atau ilmu pukul memukul, kami terlebih dahulu mempelajari ilmu akidah agama, jadi bukanlah sesuatu yang aneh jika mahu bertemu jagoan atau pendekar terpaksa pergi ke masjid atau majlis-majlis agama,” Pak Jabar mengimbau kenangan lama dan dia pernah jadi Pengerusi Masjid Al-Husna yang berada tidak jauh dari rumahnya.
Pak Jabbar juga memberitahu, dikawasan Tanah Abang pada satu ketika dulu tidak ada ditemui manusia jahat, penyamun atau tukang ragut. Alasannya, anak-anak muda yang rata-ratanya sentiasa memenuhi gelanggang silat, kerana mereka patuh dengan peraturan yang diturunkan dan mengikut tunjuk ajar guru silat.
Pak Jabbar yang sekali-sekala terkenangkan kemesraannya dengan jagoan (pendekar) Mahruf. Tidak mudah hilang sabar atau tergesa-gesa menjatuhkan hukum kepada pihak yang disangsikan melakukan kesalahan. Tidak ramai jagoan Tanah Abang yang boleh menandingi kesabaran dan ketinggian ilmu agama Mahruf.
“Arwah abang Mahruf belajar ilmu pukul memukul ini bukan mahu tunjuk handal. Dia sentiasa mematuhi aturan, jika dilanggar akan menerima padah. Abang Mahruf selalu mengingatkan kawan-kawan jangan berjudi, jangan berzina, minum minuman keras, sembahyang jangan dilupakan, ilmu silat untuk mempertahankan diri dan rumahtangga…” Pak Jabbar tidak meneruskan percakapan ada mendung kehibaan terpamer diwajahnya.
Ulasan
Catat Ulasan