280: PENDEKAR ITU NAMANYA MAHRUF

SBDJ SIRI 280 PENDEKAR ITU NAMANYA MAHRUF
    
Agak lama juga Pak Jabbar termenung. Renungan redupnya melepasi lorong dan bangunan didepan, bagaikan menyorot sejauh mungkin kisah lampau. 

“Saya tak berniat mahu menyusahkan anda. Kalau berat rasanya tak usahlah disebut kisah Mahruf,” lembut nada suara datuk meluahkan kata.

          “Bukan apa-apa, saya terasa hiba bila menyebut nama Mahruf, orangnya baik berhati mulia. Saya masih ingat cakapnya, menuntut ilmu mempertahankan diri adalah sunnah Nabi.”

          “Nabi Muhammad s.a.w suka dengan gusti, memanah dan naik kuda. Bukan sesuatu yang pelik kalau dulu pendekar Tanah Abang belajar ilmu mempertahankan diri dikawasan masjid,” Pak Jabbar berhenti bercakap. Dia membetulkan silanya, bertindih betis, macam pahlawan lampau.

          “Dia selalu berpesan pada kawan-kawan...” Pak Jabbar menambah kata tetapi, tidak melanjutkannya. Jamaluddin dan datuk tersentak dengan tindakannya itu.

          “Apa pesannya?” tanya Jamaluddin.

          “Jangan menjual dan menunjuk-nunjuk. Tetapi bersedialah membeli dari orang yang mahu menjual,” sebaik menamatkan ungkapan itu. Pak Jabbar tentang biji mata Jamaluddin.

          “Ada lagi pesannya yang lain?” datang lagi pertanyaan dari Jamaluddin.

          “Ada, apa kamu mahu tahu?” Pak Jabbar ketawa.

          “Mahu,” Jamaluddin bertambah semangat.

          “Apa moyang kamu tidak meniggalkan pesan pada datuk kamu untuk disampaikan kepada ayah kamu?”

          Jamaluddin gelengkan kepala.

          “Barangkali pesan itu sampai pada ayah kamu, tetapi, ayah kamu terlupa untuk menyampaikan kepada kamu, Jamal.”

          Mereka pun ketawa serentak.

          Sebuah motorsikal Honda bearak gagah dilorong depan warung. Debu-debu halus kembali berterbangan. Beberapa orang penduduk yang berjalan dalam debu melambaikan tangan ke arah Pak Jabbar dan Jamaluddin. Melihat situasi tersebut, sesiapa pun boleh membuat kesimpulan bahawa Pak Jabbar adalah orang tua yang dihormati dan disegani dikawasan tersebut.

          Beberapa ekor burung merpati terbang berlegar-legar lalu hinggap dibumbung warung seketika. Kemudian terbang lagi dan terus bertenggek didahan pokok besar dihujung lorong. Jamaluddin dibalut kegelisahan, Pak Jabbar masih belum mengungkapkan pesan Mahruf padanya.

          “Wajarkah aku mengingatkan atau menunggunya dengan penuh sabar atau melupakan terus.” perasaan Jamaluddin terus diamuk keresahan. Berkali-kali dia menggigit bibir.

          “Pesannya...”

          Biji mata Jamaluddin terbeliak. Seluruh perhatian tertumpu ke arah Pak Jabbar sambil mengharapkan kata-kata yang baru berhenti diucapkan akan disambung semula.

          “Pesannya,” sambung Pak Jabbar, “bersabarlah dengan sebaik mungkin. Kalau dicaci maki boleh diterima, anggap macam anjing menyalak bukit, tidak mengigit, buat apa dilayan. Tetapi, kalau tangan sudah naik ke badan, jangan fikir panjang terus melawan, kalah atau mati jangan dihitung, pokoknya maruah diri harus dipertahankan,” Pak Jabbar tersengih, Jamaluddin telan air liur.

          “Sesuai dengan pepatah Melayu yang berbunyi: buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali. Kalau sudah berbuat jahat, buruknya tak terkata, macam Hang Jebat mengamuk satu kota,” secara spontan saya bersuara.

          “Betuk cakap kamu, itulah tradisi adat rumpun Melayu, maruah bangsa, tali persahabatan dan taat setia tiada ternilai harganya, hanya nyawa dan badan jadi gantinya,” sahut Pak Jabbar penuh semangat, belakang saya ditepuknya berkali-kali. Datuk hanya senyum, Jamaluddin ketawa terkikih. Dia merasa lucu bila belakang saya ditepuk Pak Jabbar.

          “Cucu kamu bijak,” Pak Jabbar memuji. Saya tersengih macam kerang busuk.

          “Pendekar Betawi mengamalkan rasmi padi, semakin berisi semakin menunduk, itu kata ayah saya,” Jamaluddin menambahkan lagi rancak suasana.

          “Kamu juga harus bersikap macam itu,” Pak Jabbar menudingkan telunjuk ke arah Jamaluddin.

          “Saya cuba,” sebuah ikrar diluahkan oleh Jamaluddin. Buat beberapa ketika suasana terasa sepi, sayup-sayup terdengar bunyi enjin kenderaan dikejauhan.


TETAMU BARU


          “Asalammualaikum…”

          Semua yang berteduh dibawah bumbung warung menoleh ke arah orang yang memberi salam. Serentak salamnya dijawab. Memang kedatangan tetamu yang tidak diundang agak ganjil. Sepatutnya, dia datang dari arah depan warung bukannya dari tepi sebelah kiri warung.

          Mengikut petua orang Malayu dulu-dulu, tetamu yang datang tidak menerusi pintu hadapan, menandakan kurang ikhlas atau mengamal ilmu yang bertentangan dengan hukum agama. Begitu juga dengan orang yang melakukan sesuatu dari sebelah kiri (kecuali kidal) kita harus berhati-hati, mereka boleh jadi bersikap gunting makan dalam lipatan.

          “Silakan duduk,” ramah sekali suara Pak Jabbar.

          Semua yang bermain dalam kepala saya hilang. Mata saya menyorot tubuh tetamu yang tidak diduga itu.

          “Silakan duduk,” ulang Pak Jabbar untuk kali yang kedua.

          “Iya, terima kasih,” sahutnya tersengih.

          Sebelum duduk, lelaki yang berusia hampir sebaya dengan Pak Jabbar hulurkan tangan  bersalam seorang demi seorang dengan kami.

          Sambil bersalaman, Pak Jabbar terus memperkenalkan diri datuk dan saya pada tetamu tersebut. Semasa tetamu itu mahu berjabat salam dengan Jamaluddin, Pak Jabbar tersenyum.

          “Yang ini bukan orang seberang, dia orang Betawi,” kata Pak Jabbar.

          “Ohh..., tak rupa macam orang Betawi.”

          Tetamu itu terus menepuk bahu Jamaluddin dan kemudian memeluknya penuh mesra.

          “Saya cuma bergurau, awak memang orang Betawi tulin,” bisik si tetamu ke lubang telinga Jamaluddin. Saya lihat mereka tersenyum. Selepas selesai dakap mendakap dan berlaga pipi si tetamu jeling datuk.

          “Menginap dimana?” si tetamu menyoal.

          “Dijalan Raden Salleh,” balas datuk.

          “Dirumah siapa?” si tetamu terus mencungkil sambil menggigit bibir, “bukan apa-apa, di Jalan Raden Salleh itu ramai kenalan saya, pendek kata semuanya saya kenal,” tambah si tetamu sambil menatap wajah datuk dalam-dalam.

          “Menginap dirumah Pak Habib, dia jadi tetamu Pak Habib,” Jamaluddin menjelaskan.

          “Ohh...”

          Si tetamu bersuara panjang dan anggukkan kepala. Dari raut mukanya, membayangkan dia bagaikan kenal dengan orang yang dimaksudkan oleh Jamaluddin.

          “Jamaluddin yang bawa mereka jumpa aku,” Pak Jabbar bersuara, mahu menjelaskan kedudukan sebenar.

          “Sebabnya?” si tetamu memintas cakap Pak Jabbar.

          “Mereka mahu kenal dengan pendekar Tanah Abang.”

          “Semua jaguhnya sudah tidak ada,” si tetamu ketawa dia merasakan keinginan datuk itu sesuatu yang mengelikan hati. Pak Jabbar dan Jamaluddin kurang senang dengan tindak-tanduk si tetamu itu, mereka bimbang perasaan datuk tersinggung.

          “Si pendekar memang tak ada tetapi, keturunannya masih ada. Keturunan itulah yang dicari sahabat saya ini, mungkin diantara mereka itu ada pertalian darah dengannya. Bukankah kita ini serumpun bangsa,” tutur Jamaluddin, datuk mengangguk setuju dengan apa yang diluahkan oleh Jamaluddin.

          “Sebenarnya sebagai orang tua, aku merasa bangga bila ada orang luar terutama dari Tanah Melayu yang sebangsa, mahu mengesan jejak pahlawan yang sudah banyak berjasa,” Pak Jabbar menguatkan lagi hujah Jamaluddin dan secara tidak langsung memberikan sokongan moral pada datuk.

          “Ahhh...” itu yang terkeluar dari mulut tetamu.


MELANGKAH


          Si tetamu yang berkulit cerah segera bangun. Orangnya berbadan tegap. Bila berjalan banyak miring ke kanan, dilengan kanannya ada parut memanjang hingga ke pergelangan tangan. Dua tiga kali dia melangkah didepan datuk dan saya, misai tebal yang lebat menambahkan garang wajahnya. Dia kembali duduk ditempatnya.

          Saya perhatikan ada gerakan tubuhnya yang agak ganjil tetapi, tidak berapa ketara jika tidak diperhatikan dengan teliti. Dia sentiasa berwaspada dan agak curiga dengan saya dan datuk. Jamaluddin juga tidak terlepas dari pengawasannya.

          “Orang Inggeris banyak melatih orang-orang Melayu supaya menjadi pengintip dan pengkhianat pada bangsa sendiri,” tiba-tiba tercetus kata-kata itu dari mulut tetamu. Datuk bagaikan tidak terjejas dengan kata-kata tersebut, masih nampak tenang.

          “Tak semua orang Melayu macam itu, satu kesilapan kalau menuduh orang Melayu macam itu,” Jamaluddin membantah. Datuk tidak memberikan sebarang reaksi. Tetapi, matanya sentiasa awas.

          “Kamu Zubir, kalau ada apa yang kamu tahu, bolehlah diceritakan pada mereka. Zubir, kamu mesti ingat mereka tetamu dan setiap tetamu mesti dihormati,” Pak Jabar menenangkan keadaan.

          “Maafkan saya,” kata tetamu yang bernama Zubir.

          Datuk terus diam, angguk tidak menggeleng juga tidak. Dia masih bersahaja macam tadi.

          “Tak rugi bercerita,” Pak Jabbar bersuara dan Zubir yang berada disisinya tersenyum. Dengan spontan dia meraba parut dilengan, kemudian angkat tangan berparut separas dahi dan terus dihalakan kepada datuk.

          “Ini parut menangkis tetakan parang penjahat di Tanah Abang.”

          Datuk terkejut dengan tindakan yang diluar dugaan. Datuk renung muka saya ambil memberi isyarat supaya berjaga-jaga, kalau terjadi sesuatu yang buruk.

          “Nasih baik tak putus dua,” Zubir berkata, kali ini nada suaranya meninggi. Dia seolah-olah mahu menarik perhatian datuk yang kelihatan amat dingin.

          “Macam mana dengan penyerangnya?” tanya Jamaluddin.

          “Dapat saya tangkap, parangnya saya rampas. Kemudian saya lepas setelah muka kirinya saya tampar. Menampar musuh dipipi kiri sambil selawat Nabi, boleh membuat musuh jadi bodoh.”

          “Agaknya dia tu orang Betawi, Tanah Abang?” bertalu-talu pertanyaan dari Jamaluddin, kalau orang yang ditanya mempunyai panas baran, sudah tentu Jamaluddin disergah. Tetapi, Zubir tidak melakukan demikian.

          “Orang luar,” jawab Zubir dengan keras sambil gelengkan kepala.

          “Orang Tanah Abang, orang Betawi tak ada yang jadi maling (pencuri), mereka cari rezeki cara halal. Orang yang buat kacau tu, mesti orang luar. Orang beriman tak buat kerja macam itu, biar susah macam mana mereka tetap cari rezeki cara halal,” tekan Pak Jabbar dengan nada suara yang mendatar, tetapi penuh bersemangat. Zubir tersengih sambil anggukkan kepala.

          Ketika menyedari Pak Jabbar menyokongnya, gerak-geri Zubir nampak berubah, penuh keyakinan dan tidak sangsi. Ekor matanya tidak lagi mencuri pandang ke arah datuk dan saya. Saya tidak tahu bagaimana dia boleh berubah sikap demikian. Mungkin dia merasakan selain dari dirinya, dia ada Pak Jabbar dan Jamaluddin. Kemudian dia menyedari datuk tidak mempamerkan sikap yang mencurigakan, lebih banyak mendengar dari bercakap. Mungkin dia membuat kesimpulan bahawa datuk memang ikhlas. Disamping itu dia merasakan Jamaluddin sudah lama mengenali datuk. Jadi tidak perlu curiga atau bimbang. 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

232: HARUAN BESARKAN KEMALUAN

269: MENGUNCI MULUT BUAYA DAN ULAR

284: SELAMAT JALAN KAWAN