SBDJ SIRI 281 PELURU DALAM BADAN ZUBIR
Dalam suasana yang agak tenang itu, secara mengejut Zubir menghulurkan tangan kanan pada Pak Jabbar. Dengan pantas pula Pak Jabbar menyambutnya lalu dipulas ke belakang. Muka Zubir berpeluh dan mengerang kesakitan. Pak Jabbar melepaskan satu hentakkan dengan siku ke pangkal pinggang sebelah kanan. Zubir tersungkur atas lantai warung.
Perlahan-lahan Zubir duduk mencangkung dengan membelakangi Pak Jabbar.
“Bersedia,” tanya Pak Jabbar.
“Bersedia.”
“Sakit sedikit, sebab ini yang terakhir,” kata Pak Jabbar lalu mengambil secawan air sejuk dari dalam peti kayu hitam yang sejak tadi berada tidak jauh darinya.
“Minum air.”
Zubir mematuhi perintah Pak Jabbar.
“Bersedia Zubir.”
“Sedia,” kata Zubir keras penuh keyakinan.
Saya dan datuk serta Jamaluddin tercengang melihat apa yang berlaku didepan mata. Sesungguhnya kami tidak tahu apakah semuanya sudah dirancang atau berlaku secara kebetulan. Sukar untuk diteka dan mencari jawapannya. Samada suka atau tidak, samada cemas atau takut, kejadian itu terpaksa disaksikan.
“Ahhh…”
Zubir mengerang menahan kesakitan.
“Sabar,” pujuk Pak Jabbar.
Tiada jawapan dari Zubir, Pak Jabbar terus menghentakkan penumbuk ke belakang Zubir. Mula-mula secara perlahan-lahan, kemudian bertukar agak kasar dan keras.
“Ahh aduhhhh…”
Suara jeritan Zubir menguasai setiap inci ruang warung, melepasi sempadan kampung, melepasi setiap liku dan lorong. Pak Jabbar tukar taktik dari menumbuk kepada menjamah setiap urat sendi.
“Ahhh…”
Untuk sekian kalinya Zubir menjerit. Pak Jabbar meneruskan tugasnya. Tidak memadai dengan tangan, dia gunakan kaki. Orang yang lalu dilorong depan warung menganggap jeritan Zubir sebagai perkara biasa saja.
“Ahhh…”
Zubir tersedak, ada sesuatu yang terpancut dari mulut dan terus jatuh ke lantai. Dari duduk mencangkung, Zubir terus terkapar kaku atas lantai. Pak Jabbar ambil segelas air dari peti kayu hitam lalu dijirus ke badan Zubir. Kaki dan tangan Zubir bergerak.
“Apa rasanya?” tanya Pak Jabbar.
“Tak sakit,” kata Zubir sambil bangun dan terus duduk berdepan dengan Pak Jabbar.
“Tangan kanan kamu.”
HULUR TANGAN
Zubir hulurkan tangan kanan kepada Pak Jabbar. Perlahan-lahan urutan dilakukan oleh Pak Jabbar. Dimulai dari telapak tangan dan akhirnya ke seluruh badan Zubir dipicit, diurut dan diramas sesuka hati.
Wajah Zubir yang tadi pucat lesi, merah dan nampak bertenaga sekali. Pak Jabbar menyuruh Zubir melakukan senaman anak kucing dan berjalan serta berlari anak dalam warung.
“Duduk.”
Zubir dengar perintah Pak Jabbar.
“Ini peluru terakhir yang keluar dari rusuk kamu, lepas ini dengan izin Allah kamu tidak berjalan miring lagi. Semuanya ada dua peluru dalam rusuk kamu, sekarang semuanya sudah aku keluarkan,” Pak Jabbar menunjukkan peluru yang berhasil dikeluarkan dari tubuh Zubir.
“Simpan sebagai tanda kenangan.”
Zubir menyambut peluru yang dihulurkan Pak Jabbar kepadanya dan terus dimasukkan ke dalam sakunya.
“Semoga Allah memperkenankan niat aku untuk menolong mengurangkan sakit yang sudah lama kau tanggung, kalau tak silap hampir berbelas tahun,” nada suara Pak Jabbar rendah bsekali. Matanya menatap sayu wajah Zubir, ada genangan air jernih dikelopak matanta.
“Kita berjuang bersama-sama menentang golongan komunis, aku yang berada dalam barisan hadapan sepatutnya menjadi korban peluru tentera yang cuba meleraikan rusuhan. Rupanya takdir Allah menentukan dan kamu yang berada dibelakang jadi mangsa peluru tentera,” sambung Pak Jabbar sambil merenung lantai warung.
“Allah juga menentukan ikhtiar yang kamu lakukan untuk menolong aku dimakbulkan. Menurut doktor pakar, peluru itu tak dikeluarkan bagi mengelakkan aku lumpuh seluruh badan, kalau kedua-duanya dikeluarkan aku mati. Inilah kebesaran dan kelebihanNya,” Zubir bersuara dalam sedu.
Dan kami bertiga melihat sebuah drama pilu didepan mata. Pak Jabbar dan Zubir berdakapan bersama dengan iringan tangisan. Dalam tangisan itu mereka menyebut beberapa nama yang terkorban dalam satu rusuhan besar menentang pengaruh komunis yang mahu melenyapkan rasa cinta orang Betawi terhadap agama Islam.
Sudah hampir sepuluh minit peristiwa dakap dan sedu sedan berakhir. Malah masing-masing (Pak Jabbar dan Zubir) sudah kembali duduk dikerusi mereka duduk tadi. Mereka masih belum bersedia menceritakan agenda ganjil yang dilakukan didepan kami.
BERLALU
Apakah perkara itu sengaja diatur sedemikian rupa untuk memberitahu kami betapa hebatnya manusia yang bernama Pak Jabbar atau peristiwa itu terjadi secara kebetulan.
“Apa yang dilihat tadi, bukan mahu menunjuk-nunjuk hebat, semuanya cara kebetulan, sebelum Jamaluddin datang membawa kamu berdua kesini, aku sudah berjanji mahu keluarkan peluru dari badan Zubir. Bila sampai gerak hati saya untuk melakukannya, mesti disegerakan, tak kira tempat, tidak boleh lambat seminit pun, juga tak boleh cepat seminit. Pokoknya, mesti tepat pada waktunya, kalau tidak tak akan menjadi,” terang Pak Jabbar.
Datuk menghela nafas dalam-dalam, dia faham benar dengan masalah yang diutarakan oleh Pak Jabbar.
“Saya berharap tetamu saya tak beranggapan hal-hal yang buruk pada saya,” kata-kata itu Pak Jabbar tujukan kepada datuk.
“Saay faham,” jawab datuk pendek.
“Terima kasih,” Pak Jabbar tenung bijij mata datuk. Mereka berbalas senyum. Sementara itu, Jamaluddin dan Zubir sudah pun berada diluar warung. Zubir menceritakan pada Jamaluddin secara terperinci bagaimana siksanya dia menanggung rasa sakit akibat dari peluru senapang yang berada dalam tubuhnya.
Saya keluar dari warung lalu bergabung dengan Zubir dan Jamaluddin. Hanya Pak Jabbar dan datuk saja yang berada dalam warung.
“Kalau waktu malam, saya tak boleh tidur, seluruh sendi terasa sakit, macam dicucuk dengan jarum lebih-lebih lagi kalau waktu malam sejuk. Kalau musim hujan ada pula petir, peluru dalam badan terasa bergerak-gerak, masa itu aku rasa maut sudah dekat benar dengan aku,” Zubir bercerita dengan penuh perasaan.
“Macam mana boleh tahu Pak Jabbar boleh mengubatinya?” Jamaluddin menyoal.
“Aku tak pernah menceritakan padanya, setelah lima tahun berulang-alik ke hospital, doktor beritahu peluru itu tak boleh dikeluarkan. Kalau aku mahu selamat mesti disimpan terus,” Zubir berhenti bercakap kerana diganggu bunyi motor yang lalu dilorong depan warung.
“Perkara ini aku rahsiakan dari Jabbar, hinggalah pada suatu hari semasa kami berjalan-jalan, tiba-tiba hujan turun bersama guruh dan petir, kami berteduh dipondok tepi jalan. Jabbar terkejut melihat muka aku jadi biru dan berguling-guling menahan kesakitan, masa itulah baru aku buka rahsia dan Jabbar sanggup cuba mengubatinya. Dia minta aku merahsiakan apa yang dibuatnya padaku,” Zubir menggigit bibir, kemudian berjalan didepan saya dan Jamaluddin, langkahnya nampak teratur, tidak terlalu miring ke kanan.
“Enam bulan berurut, sebiji peluru dapat dikeluarkan, tiga tahun kemudian peluru kedua dikeluarkan macam mana yang kamu saksikan tadi,” lanjut Zubir dan mengajak kami masuk ke perut warung.
Belum pun sempat kami melangkah kaki, terdengar suara pekik sorak bersama jeritan minta tolong. Kami tidak jadi masuk ke dalam warung. Malah datuk dan Pak Jabbar terburu-buru keluar.
“Suara siapa minta tolong,” tanya Pak Jabbar pada Zubir sambil matanya merenung ke arah lorong yang terbentang didepan warung.
“Siapa yang berlari tu?” muka Jamaluddin nampak cemas.
Semua yang berada disitu menghalakan biji mata ke arah seorang lelaki yang sedang berlari sambil dikejar oleh sekumpulan lelaki dengan membawa kayu dan parang. Lelaki yang dikejar itu menjerit minta tolong dan ampun. Orang ramai mengejar sambil membalingkan kayu dan batu ke arah lelaki itu.
“Leraikan Zubir.”
Dengan sekelip mata Zubir hilang dari sisi saya dan Jamaluddin. Dia sudah berada ditengah-tengah lorong menghalang orang mengejar lelaki yang diburu. Bila saya menoleh ke belakang, datuk dan Pak Jabbar sudah lesap, sedar-sedar mereka sudah berada dilorong memegang lelaki yang dikejar oleh kumpulan orang ramai.
“Ayuh kita ke sana, Tamar.”
“Ayuh.”
Saya dan Jamaluddin segera berlari ke arah kumpulan yang membantah tindakan Zubir menghalang mereka memburu lelaki yang dipegang oleh datuk dan Pak Jabbar.
“Kenapa dia dikejar?” tanya Zubir keras.
“Pencuri,” jawab mereka beramai-ramai.
“Apa yang dicurinya?” tanya Zubir algi.
“Dia mencopet wang saya di pasar Tanah Abang, saya kejar dia hingga dia lari ke mari. Saya minta tolong orang ramai menangkapnya,” kata lelaki berambut panjang.
“Kami mahu bakar hidup-hidup,” jawab kumpulan yang sedang marah. Semuanya merenung ke arah anak muda yang mengeletar ketakutan. Pak Jabbar cuba menenangkan.
“Kamu dari mana?” lembut Pak Jabbar menyoal.
“Saya asli Jatim, pak.”
“Kamu yang mencuri wangnya?”
“Iya, pak.”
“Bakar dia, bakar.”
Laungan suara orang ramai bergema.
MEMERIKSA
Pak Jabbar menyuruh Jamaluddin memeriksa badan anak muda yang mendakwa berasal dari Jawa Timur (Jatim). Sebuah dompet kulit hitam ditemui dan terus diserahkan kepada Pak Jabbar.
“Siapa yang punya dompet ini.”
“Saya,” jawab seorang lelaki berusia awal empat puluhan.
“Ambil dan periksa, kalau duit kamu berkurangan.”
“Terima kasih.”
Lelaki itu mengambil dompet yang dihulurkan kepadanya oleh Pak Jabbar, terburu-buru dia menghitung wang dalam dompetnya.
“Ada yang hilang?”
“Tak, semuanya cukup pak,” kata lelaki itu.
“Sekarang anggap perkara ini selesai, pulang semua. Kalau ada yang menghukum orang ini, lehernya aku patahkan,” keras sekali suara Pak Jabbar. Beberapa orang pemuda enggan berganjak dari tempat berdiri, mereka memprotes keputusan Pak Jabbar.
“Tak boleh dilepaskan begitu saja, dia harus dihukum dan harus diajar,” seorang anak muda rapat ke arah Pak Jabbar dengan lagak berani. Beberapa orang kawannya memberikan semangat untuk menentang Pak Jabbar.
“Eh, kamu siapa mahu jatuhkan hukum sendiri,” sergah Pak Jabbar dengan wajah serius. Si pemuda itu tergamam.
“Siapa yang beri kuasa kepada kamu untuk menghukum orang, sesuka hati mahu bakar orang, kamu fikir kamu raja disini. Aku bebaskan orang ini, jangan ganggu dia. Kalau tak puas hati laporkan pada polis, jangan buat undang-undang sendiri.”
“Saya tak puas hati,” jerit anak muda itu. Dengan pisau ditangan dia cuba menerkam ke arah si pencolek saku.
“Jangannnnnnnn…” jerit Pak Jabbar dan terus menerkam ke arah anak muda yang panas baran. Pisau ditangan anak muda itu dirampas dan diramas hingga darah merah bercucuran dari celah jari jemarinya.
Ulasan
Catat Ulasan