Sekapur Sireh
SIRI BERCAKAP DENGAN JIN - TAMAT JALIS
Siri Bercakap Dengan Jin telah ditulis oleh Tamar Jalis/Ahmad Mahmud dalam 284 siri dalam tempoh 23 tahun 6 bulan. Ia merupakan satu rekod Malaysia. Ada yang membandingkannya dengan penulis JK Rowling menerusi Harry Potter. Sebenarnya Siri Bercakap Dengan Jin berbentuk memoir autobiografi Tamar Jalis dengan datuknya Kulup Muhamad Diah @ Long Mat Piah. Enam puluh peratus kandungannya berdasarkan kisah benar dan pengalamannya dengan datuknya pada zaman kanak-kanak mahupun remaja. Idea untuk menulis novel mistik SBDJ ini adalah untuk menaikkan jualan majalah Variasari. Ketika itu beliau berusia 40-an dan mahu serius dalam penulisan. Beliau merasakan perlu merakamkan pengalamannya mengikuti datuknya, seorang pengamal perubatan tradisional di sekitar negeri Perak. Pengalaman melihat dan mendengar suara makhluk halus khususnya daripada individu yang dirasuk jin memberi idea untuk beliau menulis. Rumahnya bersebelahan dengan rumah datuknya dan menjadi cucu kesayangan. Setiap kali datuknya pergi mengubat mereka yang kerasukan jin, cucu itu akan dibawa bersama.
Siri Bercakap Dengan Jin (SBDJ) adalah novel seram bersiri yang diterbitkan dalam majalah kecil Variasari sekitar April 1981- Januari 2005. Novel mistik ini telah mencetuskan fenomena pada tahun 1980-an. Hasil popularitinya, majalah Variasari pernah dicetak sehingga 120,000 naskhah sebulan. Syarikat penerbitan Variapop Group terletak di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur, dimiliki oleh Mustapa Ton. Variapop Group menerbitkan majalah hiburan Variasari dan Variapop. Selama hampir 30 tahun penulis Tamar Jalis menyembunyikan diri dari khalayak ramai. Akhirnya beliau keluar dari belantara sepi dengan nama sebenar Ahmad Mahmud atau Mohd Radzi Mahmud (73 tahun) berasal dari Beruas, Perak. Isteri beliau Maznah Mohd Isa berusia 63 tahun.
Penulis Zabidin lsmail selaku Presiden Persatuan Karyawan Perak menyatakan bahawa 'Siri Bercakap Dengan Jin' merupakan siri cerita kreatif Melayu yang terbanyak dan paling lama bersiaran dalam sebuah majalah di Malaysia. 221 siri telah dibukukan dengan pelbagai tajuk dan paparan corak kulit yang menarik lagi menyeramkan,termuat dalam 16 buah buku.Sebuah buku SBDJ mengandungi kira-kira 24 siri. Namun demikian terdapat sebanyak 63 siri iaitu siri 222 hingga 284 belum lagi dibukukan.
Kajian Prof. Dr. Adnan Nawang menganggarkan bahawa SBDJ tercetak lebih sejuta naskhah. Namun novel ini banyak dicetak rompak . SBDJ mempunyai 63 siri iaitu 222 hingga 284 belum lagi dibukukan.
SBDJ memaparkan kisah hantu, jin dan makhluk halus dalam kehidupan masyarakat Melayu. Ia memaparkan sosio-budaya, psikologi, falsafah, petua, perubatan tradisional, mistik, keagamaan, seni persilatan, kebatinan, sejarah tempatan, geografi, pemburuan, pengembaraan di Tanah Melayu dan Sumatera (Jambi, Kerinchi, Bangkahulu dan Aceh) serta kepakaran menundukkan makhluk halus.
Kelainan novel ini ialah ia memaparkan kisah benar atau separuh benar yang dialami oleh penulis Ahmad Mahmud atau 'Tamar Jalis'. Tamar Jalis bercerita tentang kehebatan datuknya (Kulup Muhamad Diah @ Long Mat Piah) .Penulisan bercorak memoir atau autobiografi ini dipercayai oleh pembaca kerana watak-watak yang disebut memang wujud. Contohnya kehebatan Pak Itam di Kampung Gajah.
Sebenarnya Ahmad Mahmud/ Tamar Jalis menulis SBDJ atas permintaan kawannya Datuk Mustafa Ton seorang penerbit / penulis majalah Variasari. Pejabat Variasari terletak di Jalam Raja Alang, Kuala Lumpur. Mustafa Ton melantik Ahmad Mahmud sebagai Ketua Pengarang Variapop Group dan sebagai jalan meningkatkan pengedaran, SBDJ telah diusahakan dan terbukti berjaya. Malah majalah Mastika yang dikendalikan oleh Zainol Fakir juga mendekati cerita seram.
Edaran Variasari pernah menyaingi majalah Dewan Masyarakat yang ketika itu membongkar kisah hidup Shamsiah Fakih sehingga penulisnya Datin Fatini Yaacob menyiasat hingga ke negara China.Majalah Variasari tersebar ke negara Singapura, Selatan Sumatera dan Brunei Darussalam.
Siri Bercakap Dengan Jin' dianggap sebagai karya klasik setanding dengan Misa Melayu ([Raja Chulan Abdul Hamid), Anggun Cik Tunggal, Awang Sulung Merah Muda, Hikayat Malim Deman, Hikayat Raja Muda dan Hikayat Malim Dewa (oleh Pawang Ana dan menjadi magnum opus atau karya agung bagi negeri Perak.
Ulasan
Catat Ulasan